Idea Homeschooling
Idea homeschooling anak anak tercetus secara tidak langsung selepas saya terlibat dalam bidang ‘Attachment Parenting’. Bergelar Konsultan Laktasi dimana pengkhususan saya adalah dalam bidang penyusuan susu ibu, mengusahakan perniagaan lampin kain Lunatots dan pengendong bayi (babywearing) menguatkan lagi hasrat saya untuk memberikan pendidikan diruman (home education) kepada anak anak.

Cita cita untuk menjadi home educator untuk anak anak ditanam sejak anak pertama lahir iaitu 5 tahun lepas. Mengaplikasikan homeschooling sejak dari itu dan kini mempunyai 3 orang anak, Ammar Zikry 5 tahun, Ammar Dzakwan 3 tahun dan Alya Zalikha 1 tahun, saya semakin yakin dengan kebaikan homeschooling.

Saya percaya ibu bapa mahu menjadi yang pertama melihat perkembangan anak mereka. Yang pertama melihat anak berpusing, meniarap, merangkak dan seterusnya berjalan. Ibu bapa juga mahu menjadi yang pertama mendengar anak menuturkan ayat pertamanya. Maka ibubapa merupakan guru terbaik anak anak mereka.

Apakah homeschool?
Homeschool ialah pendidikan anak anak bermula dirumah. Ianya bermula seawal bayi berusia 1 tahun, peringkat pra sekolah dan seterusnya ke sekolah. Pendidikan diberikan secara rasmi atau tidak rasmi mengikut kurikulum yang tertentu. Ibu bapa di Malaysia perlu membuat permohonan pengecualian (exemption) daripada Kementerian Pelajaran Malaysia sekiranya mahu melakukan homeschooling secara sepenuh masa dirumah.

Ianya sesuai untuk ibu bapa yang berkerja sendiri ataupun berkerja shift dimana dalam satu masa salah seorang berada bersama sama dengan anak anak. Dalam beberapa keadaan, ada juga ibu yang homeschool dengan anak anak selama 4 hari seminggu dimana 3 hari dia berkerja.
Namun bagi ibu bapa yang berkerja sepenuh masa, mereka boleh melakukan aktiviti homeschool dengan anak anak semasa cuti hujung minggu.

Jangkaan
Beberapa jangkaan yang perlu difahami oleh ibubapa dalam memilih homeschool. Ianya merupakan proses yang melibatkan keseluruhan ahli keluarga termasuk bapa.
Apabila ibubapa itu faham tentang keputusan homeschooling, ianya lebih mudah dilaksanakan berbanding membayangkan susunan meja dan kerusi yang sama seperti di bilik darjah (tetapi dirumah).
Pembelajaran adalah lebih daripada sekeping kertas.

Mengapa sebelum Bagaimana?

Bagi ibu bapa yang berminat dengan homeschool, mereka perlu mencari ‘mengapa’ mereka mahu melakukannya sebelum ‘bagaimana’ mereka akan melakukannya.
Mengapa saya mahu melakukan homeschool ialah kerana saya percaya pada kapasiti kami dan saya sukakan kanak kanak.
Bagi saya, dunia mereka berwarna warni dan kita menjadikannya ‘satu warna’ bila kita berfikir dengan ‘satu cara’ iaitu pelajaran hanya boleh didapati di sekolah. Setiap yang ada disekeliling kita adalah pelajaran – seperti menghormati orang tua dengan cara bersalam.
Saya tidak melihat diri saya berbeza dengan ibu bapa lain cuma terdapat pertambahan tugas iaitu kami suami isteri perlu melihat kepada kecenderungan anak anak dan menggalakkan mereka melakukan apa yang mereka suka.

Istimewanya homeschooling adalah bila jadual waktu kami tidak terhad dan tiada kurikulum yang khusus untuk anak yang berbeza umur. Contohnya apabila minggu ini kami mahu belajar tentang bentuk.

Adik yang berumur 3 tahun belajar bentuk bulat sementara abang yang berumur 5 tahun belajar bentuk heksagon. Akan tetapi jika beliau merasakan tidak sukakan bentuk heksagon, beliau boleh membantu adiknya belajar bentuk bulat dengan cara menunjukkan kepada adik barang-barang dalam rumah yang berbentuk bulat! Menarik bukan!

Pembahagian Masa
Keseimbangan dalam hidup adalah matlamat saya. Alhamdulillah perniagaan yang diusahakan hampir 5 tahun sudah mempunyai sistem dimana saya tidak perlu sentiasa berada di pejabat.
Pada waktu pagi, selepas sarapan saya akan mengajak anak anak membuat kertas aktiviti – biarpun hanya kertas kosong dengan sebarang lakaran yang terlintas. Selepas beberapa ketika, saya boleh melakukan kerja di depan tablet sambil memerhatikan mereka bermain ataupun menonton televisyen.
Sekali lagi sesi adalah pada waktu petang dengan aktiviti yang berlainan selepas kita sendiri sudah ‘letih’ membuat kerja. Jujurnya, aktiviti dengan anak anak adalah ‘waktu rehat’ saya. Ia membuatkan saya bertenaga semula!

Mommy sebagai Teacher
Saya percaya komunikasi yang berkesan adalah sangat penting. Komunikasi boleh dalam bentuk suara, sentuhan, pelukan dan bahasa tubuh. Beritahu anak anak bahawa anda adalah ibu dan juga guru (teacher). Tanggungjawab anda untuk mengajar anak anak dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi dan berbincang dengan anda sekiranya mereka merasa tidak selesa atau mempunyai cadangan lain.
Mereka pasti mengkagumi anda sebagai teacher dan mommy dirumah selepas mereka faham tugas masing masing. Dan itu adalah yang kami lakukan.

Jadual harian
Saya mempunyai jadual mingguan dan bulanan seperti apa yang mahu saya capai untuk anak anak. Saya juga mempunyai sebuah fail iaitu ‘Proof Book’ untuk menyimpan hasil kerja mereka dalam bentuk material kertas. Sekiranya ianya adalah bukan dalam bentuk kertas, saya ambil gambar hasil kerja mereka dan printkan dan simpan didalam fail mereka. Sumber rujukan saya adalah segala gala yang ada disekeliling kita seperti daun, sampah, ulat dan perkara sekecil ‘kenapa roti berwarna putih’. Selain itu saya turut merujuk kepada laman web yang membincangkan tentang aktiviti homeschool bersama anak pra sekolah.

Sebenarnya kita yang lebih banyak belajar mengenai kehidupan selepas bergelar ibu kan?
Bagi anak yang sudah berusia 5 tahun keatas, ibubapa boleh mula mencipta blog keluarga dimana anak sulung akan mencatatkan aktiviti hariannya dan anak anak.
Mereka akan sangat berbangga untuk dipertanggungjawabkan.

Target Homeschool
Kami suami isteri bercadang untuk Homeschool anak anak sehingga mereka besar. Hala tuju mereka akan ditentukan sepanjang perjalanan mendidik mereka mengikut kelebihan dan minat anak anak.
Anak anak turut menghadiri kelas kelas lain seperti kelas bahasa dan playgroup yang dianjurkan oleh kumpulan Homeschoolers yang lain lain.
Target ini boleh berubah-ubah mengikut keadaan. Anak-anak juga boleh menyertai sekolah pada bila-bila usia mereka.

Cita cita Saya
Besar harapan saya melihat komuniti Homeschoolers di Malaysia bertambah ramai. Ibu bapa adalah pendidik yang paling baik untuk anak anak dan tugas ini tidak sewajarnya diserahkan kepada guru di sekolah semata mata. Walaupun anak anak kita bersekolah pada waktu pagi, ibu bapa masih boleh melakukan homeschool dengan anak anak pada waktu petang, malam dan hujung minggu terutama pada waktu cuti sekolah.

Cita cita saya ialah ibu yang Homeschooling dapat berkongsi kepakaran suatu hari nanti contohnya saya mengajar anak saya dan anak homeschooling yang lain tentang urus niaga perniagaan manakala mungkin ada ibu yang kreatif boleh mengajar anak saya dan anaknya tentang ilmu seni dan lakonan (mungkin!). Pertukaran ilmu seperti ini pastinya menyeronokkan untuk ibu bapa dan anak anak 🙂

Leave a Reply