Bagaimana Suami Boleh Bantu Jayakan Penyusuan Susu Ibu

KUALA LUMPUR – Nor Zanariah Azmi, 28, sama seperti wanita mengandung lain yang sudah tidak sabar menanti akan kelahiran ‘orang baru’ dalam memeriahkan lagi suasana dan ikatan keluarga.

Sedang sarat mengandung anak kedua, hidupnya kini sentiasa tidak ‘lekang’ daripada penerokaan ilmu berkaitan dengan ‘bayi’ biarpun sudah mempunyai pengalaman sebelum ini.

Cakaplah apa sahaja, pelbagai medium didekatinya – majalah, akhbar, televisyen mahupun menelusuri layaran Internet, semuanya dilakukan oleh kerani Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini sebagai pelengkap pengetahuan.

Maklumat pula, sekiranya sebelum ini sekadar melatari perihal pemakanan ibu mengandung, kini pencarian Nor Zanariah diperluaskan lagi dalam mempelajari teknik penyusuan bayi.

“Selalunya bagi ibu mengandung terutama pertama kali, perkara yang menjadi keutamaan mereka adalah memastikan bayi dalam kandungan sihat. Jadi, mereka lebih mementingkan apa yang boleh dimakan dan sebaliknya.

“Tetapi, tidak ramai yang ingin tahu bagaimana kaedah penyusuan bayi dan inilah silapnya. Ramai termasuk saya berpendapat ia senang sekadar melekapkan mulut bayi di puting payudara ibu, walhal sebenarnya memerlukan teknik-teknik tertentu,” katanya kepada Bernama.

Jelas beliau ketika ditemui selepas menyertai Bengkel dan Seminar Penyusuan Susu Ibu anjuran USIM baru-baru ini, kealpaan akan kepentingan teknik penyusuan sememangnya betul menjadi antara penyebab mengapa ada yang berputus asa sekali gus membawa kepada pemilihan susu formula.

MITOS ATAU KEPERCAYAAN SILAP

Kejahilan pengetahuan itu turut menjadi faktor penyebab segelintir ibu mengandung mudah terdedah kepada kepercayaan pelbagai mitos yang disebarkan oleh orang persekitaran.

Dan, ini membuatkan ada antara mereka ‘takut’ ataupun tersilap langkah dalam penyusuan susu ibu.

Antara mitos yang acapkali diperkatakan adalah merangkumi susu awal selepas kelahiran jangan diberikan kepada bayi kerana basi, kata Kaunselor Laktasi dari Pusat Laktasi Kebangsaan Tengku Azmanira Raja Husin.

Walhal, susu awal adalah amat berkhasiat dan perlu diberi kepada bayi sebaik sahaja dilahirkan kerana ia mengandungi kolostrum yang baik untuk pembentukan imunisasi pertama dalam menentang bakteria.

Dipetik daripada risalah Jabatan Kesihatan negeri Selangor, kolostrum adalah susu yang dihasilkan semasa usia kandungan tujuh bulan sehingga beberapa hari selepas bersalin. Ia berkeadaan pekat, melekit dan berwarna kekuningan.

Mitos lain yang turut kedengaran seperti jumlah penghasilan susu berkait rapat dengan saiz payudara dan pemberian air kepada bayi perlu kerana mempercayai susu ibu tidak mencukupi.

“Waktu selepas masa kelahiran adalah amat mencabar. Disebabkan itulah pengetahuan yang disusuli dengan latihan praktikal amat penting. Digalakkan bagi ibu-ibu mengandung membuat persediaan awal dengan menyertai mana-mana bengkel penyusuan susu ibu.

“Pengalaman saya sebelum ini mendapati ramai antara mereka mempunyai pengetahuan tetapi tiada latihan praktikal. Apabila sudah ada anak, barulah mereka menyedari akan kepentingan ini dan mula terkial-kial,” katanya.


MENGAPA TAKUT?

Jangan ambil mudah, itu pesan Tengku Azmanira kepada ibu-ibu mengandung di luar sana. Penyusuan susu ibu, sebenarnya adalah satu momen sangat indah dan simbol kasih sayang utuh antara ibu dan anak.

Akan tetapi, ia boleh bertukar menjadi ‘mimpi ngeri’ sehingga boleh menyebabkan seseorang ibu itu bertukar arah kepada susu formula.

Ini berlaku akibat daripada kesilapan teknik, langkah yang mana boleh menyebabkan keadaan seperti puting payudara seseorang itu luka dan mengundang rasa sakit semasa penyusuan.

Puting luka, berpunca daripada pelekapan yang tidak betul kerana bayi hanya menghisap daripada puting payudara. Walhal, adalah sewajarnya mulut bayi itu mesti merangkumi 3/4 daripada areola ibu (tampuk hitam di sekitar puting
payudara).

“Puting luka, puting melecet atau ‘cracked nipple’ adalah masalah yang paling sinonim kalau mula-mula hendak melakukan penyusuan badan. Untuk mengatasinya, betulkan posisi dan pelekapan penyusuan supaya bayi menghisap daripada areola,” katanya.

Disebabkan itulah penyusuan ibu yang betul perlu dipelajari, katanya yang turut berkongsi ilmu mengenai teknik dan kaedah penyusuan menerusi blognya, bidanbersalin.blogspot.com.

Selain membetulkan posisi, para ibu juga boleh menyapukan sedikit susu pada puting luka setiap kali selepas penyusuan kerana ia membantu menyembuhkannya.

BENGKAK SUSU

Luka di puting payudara juga berpunca daripada tindakan ibu menarik terus bayi mereka sementelah selesai penyusuan. Sewajarnya, memasukkan jari kelengkeng ibu di celah-celah mulut bayi untuk melepaskan hisapannya secara perlahan-lahan.

Menjelaskan lebih lanjut, Penolong Pengarah Kanan, Pusat Laktasi Kebangsaan Siti Mariam Ali berkata para ibu yang berjuang untuk menyusukan bayi mereka secara ‘eksklusif’ turut berhadapan dengan cabaran seperti bengkak payudara.

Apakah itu penyusuan badan secara eksklusif dan bengkak payudara atau bengkak susu?

Penyusuan badan secara eksklusif bermaksud bayi diberi susu ibu sahaja dan tiada minuman atau makanan lain selama enam bulan. Manakala bengkak payudara pula terjadi apabila tiadanya pengaliran keluar susu disebabkan ibu itu jarang menyusukan bayi, menghadkan masa penyusuan ataupun kesilapan teknik.

Ia juga akan membuatkan puting menjadi leper dan merekah.

“Bagi mereka yang bekerja, ada ketikanya menangguhkan masa untuk mengepam susu (memerah susu dengan menggunakan pam payudara).

“Jangan menundakan masa mengepam susu kerana ia akan menyebabkan bengkak payudara dan akhirnya membawa isyarat kepada otak untuk mengurangkan penghasilan susu,” jelas beliau.

SAYA TIDAK ADA SUSU

Akan tetapi, bagaimana pula dengan mereka yang tidak mengalami bengkak payudara tetapi penghasilan susu memang kurang sejak hari pertama lagi? Adakah itu menandakan seseorang itu sememangnya tidak mempunyai banyak susu dan perlu menggunakan susu formula?

Menjelaskan perihal itu, Siti Mariam berkata seseorang ibu itu tidak perlu berasa sedih dan berputus asa sekiranya dalam masa beberapa hari pertama susu hanya dapat diperah dalam jumlah yang sedikit.

Latihan berterusan dan kaedah yang betul dalam penyusuan akan menjadikan ibu lebih mahir dan yakin serta membantu perangsangan pengaliran susu. Selain itu, menyusu lebih kerap dan memakan bahan-bahan yang dapat meningkatkan penghasilan susu adalah digalakkan, kata Tengku Azmanira.

KEBAIKAN TIDAK TERNILAI

Usah takut untuk menyusukan anak anda. Kesukaran ataupun risiko menghadapi puting luka, bengkak susu dapat dielakkan apabila anda melengkapkan diri dengan pengetahuan dan latihan praktikal yang cukup.

Dengan itu, anda akan berasa lebih yakin untuk menyusukan anak anda.

Kaya dengan pelbagai khasiat diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan sempurna, susu ibu adalah imunisasi pertama yang diterima oleh bayi jika anda menyusukannya sejurus selepas dilahirkan.

Istimewanya, faedah penyusuan susu ibu ini membawa kebaikan bukan sahaja kepada bayi malahan kepada para ibu. Disebabkan itulah, galakan mengenainya sentiasa diberi penekanan utama termasuklah dengan pelancaran inisiatif Hospital Rakan Bayi.

Antara faedah kepada bayi adalah melindungi bayi daripada jangkitan, mencegah sebahagian daripada punca kematian bayi, mengurangkan obesiti pada lewat usia serta baik untuk perkembangan otak.

Manakala ibu pula, dapat mengurangkan risiko menghadapi kanser payudara, kanser ovari dan mengeratkan hubungan antara ibu dan anak.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk menyertai mana-mana bengkel penyusuan ibu, boleh juga melayari blog-blog berkaitan ataupun mendapatkan rujukan di hospital dan klinik kesihatan.

Ketahuilah bahawa susu ibu adalah anugerah Tuhan amat berharga dan adalah makanan terbaik kepada bayi anda.

“Sebagai suami, melihat keadaan isteri yang tertekan semasa menyusukan anak pertama kami secara tidak langsung membuatkan saya juga berada dalam keadaan sama.

“Sehinggakan pernah terlintas di fikiran ketika itu, sekiranya badan ini mempunyai susu sudah tentu saya tidak akan teragak-agak untuk membantu meringankan tugas isteri menyusukan bayi,”.

Demikian antara luahan kata Azrul Zain, 29, ketika diminta berkongsi pandangan, pengalaman sebagai seorang bapa bersama peserta Bengkel dan Seminar Penyusuan Susu Ibu anjuran Universiti Sains Islam Malaysia.

Rasa keprihatinan itu mula dirasai dalam diri beliau tatkala melihat kesungguhan isterinya, Saraina Kassim, 30, berjuang emosi menyusu dan menguruskan bayi mereka biarpun letih selepas seharian dengan tugas-tugas pejabat dan kerja rumah.

Ini semua berlandaskan kepada satu matlamat, yakni memastikan anak mereka sihat, ketahanan badan yang tinggi yang boleh diperoleh menerusi pemakanan terbaik dan tiada nilai tandingannya itu, susu ibu.

Akan tetapi, untuk menjayakannya memerlukan komitmen, keazaman dan pengorbanan tinggi yang bukan sekadar terangkum kepada seorang insan bergelar isteri, ibu malahan para suami juga berperanan penting menggemblengkan tanggungjawab.

AGAK JARANG

Biarpun begitu, hakikatnya mendapati penyentuhan ataupun pencerahan mengenai pembabitan para suami dalam perihal penyusuan badan tidak banyak diperkatakan berbanding komuniti wanita.

Walhal, secara asasnya mereka (kaum lelaki) memahami dengan jelas akan kepentingan dan kebaikan susu ibu sebagai pemakanan terbaik untuk pertumbuhan dan perkembangan minda anak.

Namun demikian, masih tetap ada segelintir kaum lelaki beranggapan penyusuan susu ibu hanyalah meliputi tanggungjawab isteri semata-mata.

Bagi mereka, peranan suami terhad dalam penawaran berkaitan kewangan seperti pembelian kelengkapan bayi, pam susu berkualiti dan makanan sihat.

Daripada satu sudut tidak dinafikan akan hakikat isteri sebagai pembekal susu namun itu bukanlah alasan para suami menidakkan penglibatan mereka dalam pencarian pengetahuan berhubung penyusuan susu ibu sama ada menerusi bengkel ataupun internet.

“Bagi saya suami yang menyokong isterinya menyusukan bayi tetapi malu untuk turut serta dalam bengkel sebegini adalah seorang yang ego. Buang malu dan fikirkan isteri serta kebaikan anak mendapat susu ibu.

“Menghadiri bengkel sebegini penting kerana di sinilah anda akan mempelajari kepentingan dan teknik diperlukan dalam membantu isteri semasa penyusuan bayi seperti pengurutan untuk menambahkan pengaliran susu,” katanya kepada Bernama.

PELBAGAI CABARAN

Penyertaan dalam bengkel, seminar dan penerokaan pengetahuan di internet juga antara cara menzahirkan sokongan moral suami kepada isteri supaya terus bersemangat jitu dan berazam tinggi meneruskan perjuangan menyusukan bayi mereka.

Ini kerana, pelbagai cabaran mungkin timbul dalam usaha menyusui bayi selama dua tahun seperti salah teknik penyusuan, kepercayaan tidak betul, sekali gus boleh mematahkan keyakinan para ibu.

Apakah itu penyusuan selama dua tahun?

Menurut risalah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, semua ibu digalakkan menyusui anaknya dengan susu ibu sahaja dari lahir hingga berumur enam bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur dua tahun.

Seruan untuk menyusui anak telah disebut melalui firman Allah melalui surah Al-Baqarah ayat 233 yang mana para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan itu.

Manakala, makanan pelengkap pula perlu diberikan mulai umur enam bulan.

BANTU BUAT KERJA RUMAH

Bagi golongan ibu bekerjaya, cabaran lebih hebat dirasai kerana perlu bijak mengatur masa antara keluarga, kerjaya dan waktu untuk mengepam susu sehingga menyebabkan ada antara mereka tidak cukup tidur.

Kelangsungan tekanan ini boleh membawa kepada kekurangan pengaliran susu sehinggakan ada antara mereka beralih arah memilih susu formula yang dianggap lebih mudah dan tidak terikat dengan jadual pengepaman susu.

“Amat penting, jangan bagi isteri kita tertekan. Walaupun saya berulang-alik dari Nilai ke Pandan Indah untuk mencari rezeki, saya tidak menjadikan ia sebagai alasan atau penat untuk membantu isteri,” katanya.

Malahan, bapa kepada dua orang anak ini komited menjayakan penyusuan susu ibu dengan membantu isteri membuat segala kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas, melipat baju dan membersihkan botol susu.

Apa yang penting bagi pekerja USIM ini adalah memastikan isterinya mendapat rehat yang cukup, sentiasa dalam keadaan tenang supaya memberi tumpuan penuh kepada penyusuan anak.

Pada masa sama, Azrul berkata sebagai individu paling dekat dalam hidup seorang isteri, suami boleh mendorong ke arah peningkatan keyakinan dan keazaman isteri menerusi kata-kata positif.

Antaranya, “Banyakkan bersabar, banyaknya susu kerana kata adalah doa, abang rasa bangga sebab sayang boleh susukan anak kita,” dan sebagainya kerana itu dapat memotivasikan mereka.

HADIAHKAN ISTERI PAM

Selain sokongan moral dan emosi, Shahril Anuar Salikam, 39, berpendapat para suami boleh menggembirakan hati isteri dengan menghadiahkan mereka pam susu elektronik yang harganya agak mahal berbanding manual (penggunaan tangan).

Itu sekiranya mereka berkemampuan, tambahnya.

Menceritakan pengalamannya sebagai bapa kepada tiga orang anak, pam susu sedemikian dapat menjimatkan masa dan tidak meletihkan isterinya.

“Dulu, isteri saya menggunakan pam susu secara manual. Saya tengok letih dia memerah menggunakan tangan dan bekerja lagi. Kasihan melihat keadaannya itu, saya beli yang elektronik sebagai hadiah dan rangsangan menjayakan penyusuan susu ibu,” katanya.

JANGAN PUTUS ASA

Penyusuan susu ibu bukanlah satu momen mengerikan, malah ia adalah antara keajaiban terindah yang diberikan kepada setiap keluarga dalam membina kehidupan sihat sejahtera.

Yang penting, pengetahuan diterokai, pengaliran sokongan padu serta sikap keterbukaan para suami dan orang persekitaran mereka akan menjayakan lagi penyusuan susu ibu.

Untuk itu, penekanan harus dilihat kepada skop ‘kerjasama’ dan komunikasi berkesan, kata Azrul.

“Sebagai bapa, rasa bangga itu akan datang sendiri apabila mengetepikan rasa penat untuk membantu isteri dalam segala kerja rumah dan membiarkan isteri sepenuh masa menyusukan anak.

“Kita akan rasa amat bersyukur dan boleh merasakan diri sebagai bapa terbaik di dunia walaupun orang tidak tahu kerana Allah maha mengetahui,” jelas Azrul. – Bernama

Leave a Reply