Blog

Ibu Boleh Menyusu Selepas Melahirkan secara Caesarian

muslim-baby-mom-arms

Ibu Boleh Menyusu Selepas Melahirkan secara Caesarian
Penulis bersama Puan Suraya Ali
Artikel disiarkan di Majalah Pa&Ma

Bolehkah ibu menyusukan bayi sejurus selepas melahirkan anak secara pembedahan Ceasarean? Ramai beranggapan ia sukar dan mencabar. Hakikatnya ia boleh dilakukan asalkan ibu mempunyai maklumat yang betul berkenaan hal tersebut.

Faktor komplikasi yang sering berlaku kepada mereka yang melahirkan anak secara pembedahan Ceasarean adalah penangguhan untuk menyusukan anak sebaik melahirkannya. Biasanya dengan penggunaan ubat bius epidural, ibu boleh memangku anak dan menyusukannya lebih cepat berbanding jika ibu disuntik ubat bius seluruh badan (general anesthesia).

Ibu yang melahirkan bayi menerusi pembedahan Ceasarean boleh menyusukan bayinya dalam tempoh masa yang sama dengan ibu yang melahirkan bayi secara normal. Ini membuktikan bahawa sebaik sahaja ibu pulih daripada kesakitan pembedahan, penyusuan anak akan menjadi satu pengalaman yang indah.
Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, anda perlu berbincang dengan doktor tentang pilihan ubat bius sebelum melahirkan anak dan ubat penahan sakit selepas melahirkan anak. Terdapat banyak ubat-ubat yang sesuai dengan penyusuan dan biasanya digunakan oleh ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan Ceasarean dan menyusukan anak.

Posisi menyusu bayi selepas pembedahan

Posisi menyusukan bayi memainkan peranan dalam menjayakan penyusuan selepas pembedahan. Cari posisi yang betul, gunakan posisi yang boleh mengelakkan sebarang bebanan kepada bahagian abdomen (perut) serta memberikan keselesaan kepada ibu.

Pegang bayi secara mendakapnya antara posisi yang selesa bagi kebanyakan ibu bersalin Ceasarean. Anda boleh menggunakan posisi ini di katil hospital dengan menaikkan kedudukan katil ke atas atau menggunakan kerusi yang lebar.

Letakkan bantal di bahagian sisi yang anda hendak menyusukan bayi bagi menyokong lengan yang memangku bayi anda. Bayi akan termasuk di bawah lengan anda.
Pegang bayi dengan kedudukan rendah menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, di belakang telinga bayi. Tapak tangan hendaklah menyokong leher dan bahagian belakang badan bayi sementara lengan anda menyokong keseluruhan badan bayi. Sementara siku anda mendakap punggung bayi ke bahagian sisi anda.

Bayi patut berkedudukan yang membolehkan wajahnya menghadap terus ke payu dara ibu, hidung sebaris dengan puting payu dara. Bayi perlu berkedudukan lurus iaitu bahu, telinga dan punggung tegak ke hadapan. Tangan berikutnya akan menyokong payu dara dengan empat jari berada di bawah payu dara dan ibu jari di bahagian atas. Berhati-hati bagi memastikan belakang tangan tidak menutup aerola ketika bayi sedang melekapkan mulutnya dengan selesa.

Posisi cross cradle mungkin dapat memberikan keselesaan, gunakan bantal untuk melindungi bahagian perut yang dibedah dan menyokong lengan anda ketika memegang bayi.

Recommended Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *