fbpx

Kitaran Perakaunan untuk Usahawan

Kitaran Perakaunan untuk usahawan

Bukan hidup sahaja yang mepunyai kitaran, perakaunan juga ada kitarannya. Jadi, hari ini Cik Sue ingin kongsikan kitaran perakaunan untuk usahawan di luar sana. Sebelum itu, jom kita lihat makna dan kepentingan perakaunan untuk usahawan ini.

Apa Itu Perakaunan? | Kitaran Perakaunan untuk Usahawan

Kitaran Perakaunan untuk usahawan

Dari segi bahasa, perakaunan ialah pengukuran, pemprosesan dan komunikasi maklumat kewangan dan bukan kewangan mengenai entiti ekonomi, seperti perniagaan dan syarikat. Dari segi “bahasa perniagaan”, perakaunan ialah “mengukur” dan “bercerita” tentang aktiviti syarikat dan bisnes, serta menyampaikan maklumat ini kepada pihak pengguna yang mempunyai kepentingan untuk mengetahui kedudukan kewangan syarikat dan bisnes, iaitu:

  • Pihak dalaman syarikat (pengarah, pemegang saham dan pengurusan)
  • Pihak luaran syarikat (pelabur, pemiutang dan lain-lain)

Kepentingan Perakaunan | Kitaran Perakaunan untuk Usahawan

Antara kepentingan perakaunan dalam kitaran perakaunan untuk usahawan ialah:

  1. Patuh Akta Syarikat 2016 dan Akta Cukai 1965
  2. Mengetahui kedudukan kewangan dan prestasi syarikat dan bisnes
  3. Mohon bantuan kewangan dari bank atau institusi kewangan
  4. Mohon bantuan kerajaan, seperti Geran, “soft loan
  5. Masuk tender untuk dapat projek kerajaan atau swasta
  6. Tarik pelabur untuk melabur dalam syarikat
  7. Jual syarikat atau bisnes dengan harga yang lumayan

Apakah yang Dimaksudkan dengan Kitaran Perakaunan untuk Usahawan?

Kitaran perakaunan untuk usahawan merupakan beberapa peringkat proses perakaunan yang bermula daripada sumber dokumen sehingga Laporan Kewangan disiapkan. Jangka masa untuk satu kitaran perakaunan ialah satu tahun.

Di bawah merupakan senarai setiap peringkat proses perakaunan tetapi diubah suai mengikut kesesuaian untuk usahawan:

  1. Dokumen sumber
  2. Buku Catatan Rekod
  3. Fail
  4. Penyata kewangan

Untuk artikel hari ini, kita akan memfokuskan kepada satu peringkat dahulu, iaitu dokumen sumber. Jom lihat sebab dokumen diperlukan dalam kitaran perakaunan!

Dokumen Sumber | Apa Itu Dokumen?

Kitaran Perakaunan untuk usahawan

Berdasarkan Wikipedia, dokumen merupakan maklumat yang diwujudkan, sama ada dalam bentuk kertas, atau imej yang diimbas atau secara elektronik, yang masih boleh dipinda atau diubah. Dokumen yang telah dimuktamadkan mungkin berakhir sebagai rekod jika dokumen tersebut merupakan bukti transaksi. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa rekod bermula daripada dokumen. Namun, bukan semua dokumen akan berakhir sebagai rekod.

Secara ringkasnya maksud dokumen ialah sesuatu yang kita gunakan untuk membuktikan berlakunya sesuatu transaksi. Cik Sue ambil contoh transaksi pembelian gula di 7-11. Apa yang membuktikan berlakunya pembelian gula? Jawapannya: Resit. Resit tersebut merupakan dokumen. Jadi, jika kita tak buat pembelian, maka tiadalah resit atau dokumen.

Dalam perakaunan, lazimnya, dokumen dipanggil sebagai Dokumen Sokongan. Jom kita kenali dua (2) kategori utama Dokumen Sokongan:

1. Dokumen Sokongan Duit Masuk

  • Invois kepada pelanggan/Proforma
  • Resit Rasmi
  • Resit jualan
  • Perjanjian
  • Buku Jualan
  • Lain-lain

2. Dokumen Sokongan Duit Keluar

  • Invois daripada pembekal
  • Resit Rasmi
  • Resit belian
  • Bil
  • Perjanjian
  • Lain-lain

Apa Itu Invois? | Kitaran Perakaunan untuk Usahawan

Invois ialah dokumen yang mempunyai maklumat tentang produk atau perkhidmatan yang dijual. Maklumat tersebut ialah:

  • Huraian lebih jelas tentang produk atau perkhidmatan yang dijual
  • Harga atau nilai dan jumlah produk atau perkhidmatan yang dijual
  • Tarikh transaksi jual beli berlaku

Terdapat tiga (3) jenis invois, iaitu:

  • Invois kepada pelanggan
  • Invois daripada pembekal
  • Invois Proforma

Invois kepada pelanggan merupakan invois yang akan menentukan berapa jumlah jualan kita. Namun, ianya bergantung kepada jenis bisnes masing-masing. Jika bisnes anda adalah secara tunai maka jumlah jualan adalah dari resit yang dikeluarkan sama ada secara manual atau mesin tunai (contoh POS Sistem). Invois daripada pembekal ialah invois yang akan menentukan jumlah liabiliti kita.

Invoise Proforma pula lazimnya digunakan oleh industri yang melibatkan jual beli dari negara berbeza. Maka, huraian dalam invois ini lebih terperinci berbanding invois biasa. Antara maklumat yang terdapat dalam invois ini ialah:

  • Cara atau kaedah penghantaran produk
  • Perincian mengenai proses
  • Jenis pembungkusan
  • Negara yang menjual dan negara mana ia akan dihantar
  • Lain-lain butiran pengangkutan tambahan

Apa Itu Resit Rasmi?

Berdasarkan Wikipedia, resit rasmi ialah pengakuan bahawa jumlah wang tertentu telah diterima. Dengan kata lain resit rasmi ialah dokumen yang membuktikan bayaran oleh satu pihak telah dibuat kepada pihak yang satu lagi.

Apa Itu Resit Jualan dan Resit Belian? | Kitaran Perakaunan untuk Usahawan

Resit jualan adalah sama dengan invois. Bezanya adalah daripada cara jualan. Penggunaan invois lazimnya, jualannya dilakukan secara hutang (kredit), manakala resit jualan pula merupakan bagi jualan secara tunai. Contoh jualan yang dibuat secara tunai dan sesuai menggunakan resit ialah bisnes dalam talian, home-based atau apa-apa bisnes secara kecil-kecilan.

Resit belian ialah resit pembelian barangan atau perkhidmatan.

Apa Itu Buku Jualan?

Buku Jualan merupakan dokumen yang boleh memberi maklumat terperinci tentang jumlah jualan. Fungsinya adalah sama dengan invois kepada pelanggan. Bezanya hanyalah dari segi bentuk dan format.

Ramai yang keliru atau sebenarnya tak pasti pada waktu bila atau situasi bagaimana untuk kita keluarkan invois atau sediakan buku jualan. Buku jualan disediakan bagi jualan secara tunai atau bila nature of business kita itu tidak sesuai untuk memberi resit atau invois. Contohnya, bisnes jual goreng pisang tepi jalan.

Buku jualan disediakan untuk rekod jualan harian bisnes tersebut. Jadi, bagi mereka yang mempunyai bisnes yang tidak sesuai untuk keluarkan invois, jangan susah hati atau risau. Buku jualan juga merupakan dokumen sokongan!

Apa Itu Bil?

Kebiasaannya, bil ialah dokumen yang merujuk kepada liabiliti bulanan, seperti bill elektik, air, telefon, pembentungan dan lain-lain. Ada juga dokumen yang dinamakan Bil Tunai. Bil Tunai ini sebenarnya sama juga dengan resit jualan atau belian. Ianya dinamakan Bil Tunai kerana jualan dan belian yang dibuat adalah secara tunai (sama seperti resit).

Apa Itu Perjanjian? | Kitaran Perakaunan untuk Usahawan

Perjanjian adalah satu perikatan. Dalam perjanjian tersebut terdapat dua pihak yang terlibat, iaitu pihak yang mempunyai hak dan pihak yang mempunyai kewajiban.

Jom kenali empat (4) jenis perjanjian dalam bisnes:

  1. Perjanjian jual beli
  2. Perjanjian sewa beli
  3. Perjanjian rakan kongsi
  4. Perjanjian kerjasama

Jom kita tonton video ini tentang Borang Penyata Cukai yang akan diterangkan oleh Puan Rozita, pakar akaun kewangan.

Fungsi dan Kepentingan Dokumen Sokongan dalam Kitaran Perakaunan untuk Usahawan

Perasaan risau atau fobia dengan situasi tiada dokumen sokongan perakaunan, seperti resit, bil atau invois merupakan perkara biasa sepanjang Cik Sue bersama usahawan. Kenapa berlakunya situasi sebegitu?  Kebanyakan usahawan tidak tahu fungsi atau pentingnya dokumen sokongan. Oleh sebab itu, mereka tidak simpan resit atau bil apabila berbelanja.

Tanpa dokumen sokongan, maklumat transaksi tidak dapat diketahui untuk direkodkan dan usahawan juga tidak dapat membuktikan bahawa terdapat transaksi duit keluar masuk. Jika tiada dokumen sokongan, maka tiadalah rekod. Oleh itu, kita tidak dapat:

  1. Tahu prestasi bisnes kita
  2. Sediakan Laporan Kewangan dan Laporan Kewangan Beraudit untuk dihantar ke SSM
  3. Siapkan Pengiraan Cukai untuk dihantar ke LHDN

Jadi, sampai di sini sahaja untuk artikel kali ini. Minggu depan Cik Sue akan kongsikan apa yang perlu dilakukan jika anda tidak ada dokumen sokongan. Nantikan artikel akan datang untuk kita kupas lebih lanjut lagi tentang kitaran perakaunan untuk usahawan.

Maklumat Tambahan

Perlukan bimbingan lanjut mengenai pengurusan kewangan syarikat? AR Success merupakan sebuah syarikat yang pakar dalam menguruskan akaun kewangan syarikat usahawan atau peniaga. Hubungi 019-626 3206 (Puan Rozita) untuk penjelasan yang lebih lanjut.

Untuk lebih banyak artikel menarik, boleh layari laman web portal SurayaAli.

Leave a Reply

%d bloggers like this: