Blog

Bagaimana Ibu Bekerjaya mahu Memilih untuk Menyusukan

Bagaimana Ibu Bekerjaya mahu Memilih untuk Menyusukan

Artikel Puan Suraya Ali untuk Majalah Mingguan Wanita kolum Permata Hati Januari 2011

Polisi Penyusuan Susu Ibu Dunia dan Malaysia ialah :
Semua ibu digalakkan menyusui anaknya dengan susu ibu sahaja sepanjang 6 bulan pertama dan meneruskan penyusuan sehingga usianya 2 tahun. Makanan pelengkap dimulakan pada usianya 6 bulan.

Polisi ini jelas menyatakan HANYA susu ibu SAHAJA makanan bayi untuk 6 bulan pertamanya dan penyusuan masih diteruskan sehinggga anak berusia 2 tahun.
Nyata susu ibu sahaja tanpa air suam mahupun susu tambahan mampu memenuhi khasiat yang diperlukan sepanjang tumbesaran bayi.

Bila dinyatakan susu ibu adalah makanan terbaik, ianya memberikan ruang yang longgar untuk ibu bapa untuk memilih susu mamalia lain.
Namun apabila ditekankan bahawa hanya susu ibu satu satunya makanan yang sesuai untuk bayi mereka, ramai ibu bapa mula memahami kepentingan susu ibu.

Kolustrum adalah susu ibu awal
Susu ibu terhasil dalam bentuk KOLUSTRUM pada minggu pertama kelahiran.
Kolustrum ialah susu awal yang likat dan berwarna jernih malah terhasil dalam kuantiti yang sedikit.
Ramai ibu bapa beranggapan bahawa susu mereka tidak cukup untuk bayi namun hakikatnya perut bayi yang kecil (hanya sebesar ibu jari) pada 3 hari pertama tidak memungkinkan mereka minum dengan banyak seperti yang ibubapa jangkakan. Cukuplah kolustrum yang mengandungi antibodi untuk melindungi anak kita daripada jangkitan penyakit. Kurang lemak, tinggi karbohidrat, tinggi protein dan mudah dihadam.
Kolostrum juga membantu mengkumuhkan mekonium (najis pertama bayi di dalam kandungan) dan bilirubin serta seterusnya akan mengelakkan jaundis (demam kuning).

Kolostrum mengandungi immunoglobulin A (IgA) yang menyaluti saluran pencernaan bayi untuk melindunginya daripada jangkitan kuman terutama daripada mukus pada trakea, esofagus atau di sepanjang saluran pencernaan atau kuman-kuman daripada persekitaran.

Antara tips untuk menjayakan penyusuan susu ibu ialah ‘menyusukan bayi seawal dan sekerap mungkin pada tempoh awal kelahiran’.
Mengikut case study, lebih awal ibu dapat menyusukan bayi selepas melahirkan, semakin panjang tempoh penyusuan tersebut dapat direalisasikan.

Hospital Rakan Bayi juga memainkan peranan yang penting dalam menjayakan penyusuan susu ibu.
Hospital Rakan Bayi mempunyai anggota perubatan yang terlatih dan memahami kepentingan susu ibu dimana tiada susu formula mahupun botol tiruan dibenarkan dibawa di hospital.

Kolostrum akan digantikan dengan susu matang dalam beberapa hari kemudian.
Ia hanya hadir pada hari hari awal kelahiran sahaja, berikan peluang untuk bayi mendapat imunisasi semulajadinya yang pertama pada hari-hari pertama hayatnya supaya dia dilindungi daripada kuman-kuman yang ada di persekitaran kita ini.

Sebaik sahaja ibu pulang dari hospital, cabaran lain bermula.
Sokongan insan sekeliling seperti ibu bapa dan keluarga mertua amat diperlukan pada waktu ketika ini.
Bayi yang baru lahir biasanya kerap menangis walau hakikatnya menangis ialah satu satunya cara mereka berkomunikasi.

Malangnya kebanyakan tangisan bayi ditafsirkan sebagai lapar dan keadaan ini menyebabkan bayi diberikan susu formula atau makanan tambahan lain (seperti bijirin) bagi membuatkan mereka tidur lena.

Bayi mungkin menangis kerana lapar, takut, sunyi, lampin basah, sakit mahupun mahu mendengar suara ibunya. Susukan bayi sekerap mungkin dan elakkan pemberian minuman atau makanan asing kerana usus bayi yang masih belum matang meningkatkan risiko infeksi dan penyakit sekiranya terdedah awal dengan bendasing.

Bayi yang tidur lena dan lama bukan petanda yang baik kerana ia meningkatkan risiko SIDS (Sudden infant death syndrome ) dan boleh menyebabkan bengkak susu terhadap ibu.

Susukannya selang 1 ke 2 jam bagi menenangkannya sekaligus melancarkan pengaliran susu ibu yang masih belum stabil.

Cadangan kaunselor : Beri sekurang kurangnya masa 9 bulan bagi bayi menerima keadaan sekelilingnya berikutan 9 bulan beliau berada didalam perut dalam keadaan yang sunyi mungkin menyebabkannya takut dan kerap menangis.

Penyusuan Susu Ibu Bagi Ibu Berkerjaya

Bagi ibu yang akan kembali berkerja selepas 2 bulan usia bayi, mereka boleh mula memerah susu pada usia bayi 2 minggu. Susu boleh diperah menggunakan tangan (dengan teknik tertentu) atau menggunakan pam susu bergred hospital.

Pam yang baik menyokong ibu untuk meneruskan penyusuan kerana sedutannya yang tidak menyakitkan. Ibu boleh memerah susu semasa anak tidur atau mengepam sebelah payudara semasa menyusukan anak.

Susu yang diperah boleh dilabelkan dengan tarikh dan disimpan 3 oz satu bekas didalam peti sejuk. Susu ibu tahan selama 3 bulan didalam peti ais 2 pintu. Cadangan kaunselor : Ibu mendapatkan sekurang kurangnya 20 botol 3 oz = 60 oz sebelum kembali berkerja.

7 hari sebelum masuk berkerja, ibu boleh mula menghantar bayi ke -rumah pengasuh bagi melatih bayi minum susu ibu perahan (SIP) sewaktu ibu pergi berkerja. Ibu boleh memulakan dengan 3 jam (pada hari pertama) dan jumlah jamnya ditingkatkan hari demi hari.

Untuk hari pertama berkerja, ibu boleh meninggalkan 5 bekas 3 oz = 15 oz susu ibu untuk anak mereka kepada pengasuh. Susu ibu ini perlu direndam didalam bekas air suam sebelum diberi kepada bayi.

Bayi yang minum susu ibu akan minum dalam kuantiti yang sedikit namun kerap.

Sepanjang berkerja di ofis (katakan 10 jam), ibu perlu mengepam 3 jam sekali 20 minit sebelah payudara sepanjang di ofis.
Pengepaman di ofis ini penting untuk membekalkan susu kepada bayi sekaligus memberitahu badan ibu untuk terus menghasilkan susu.
Ini kerana jika tiada (atau kurang) signal yang dihantar kepada badan, badan akan berdikit dikit menghasilkan kurang susu. Signal terhadap badan boleh dihasilkan dalam 2 bentuk iaitu bayi menyusu secara terus dengan ibu dan yang kedua ialah ibu mengepam selang 3 jam.

Jarak yang terlalu jauh antara tempoh pengepaman juga boleh menyebabkan susu ibu berkurangan (seperti mengepam hanya sekali sepanjang 10 jam).

Makanan tambahan mahupun suntikan hormon boleh membantu penyusuan susu selagi badan menerima 2 signal yang dinyatakan seperti diatas.

Perbincangan bersama majikan adalah diperlukan bagi menjayakan penyusuan susu ibu kerana ibu perlu keluar mengepam selang 3 jam dan keadaan ini mungkin mengambil waktu berkerja.

Kebanyakan majikan semakin menyedari kepentingan penyusuan susu ibu terhadap keluarga amat menyokong penuh tindakan ibu dimana mereka berbesar hati menyediakan bilik penyusuan khas untuk ibu mengepam susu.

Mengikut beberapa kajian yang dijalankan oleh jabatan human resource, ibu yang menyusukan anak lebih jarang mengambil cuti kerana anak sakit berbanding ibu yang menyusukan anak dengan susu formula.
Ianya satu kelebihan untuk majikan dan syarikat itu sendiri berikutan produktiviti yang meningkat dengan penyusuan susu ibu.

Penyusuan susu ibu diketahui umum memberikan antibodi yang ada didalam badan ibu kepada bayi.

Keadaan ini adalah berfaedah kepada bayi kerana sudah memiliki antibodi tanpa perlu sakit terlebih dahulu.

Ramai ibu susah hati dengan 2 tahun kerana risaukan mereka tidak menghasilkan susu yang mencukupi sepanjang tempoh itu.
Sokongan suami, keluarga, pengasuh bayi dan rakan sekeliling amat diperlukan dalam menjayakan usaha ini.

Bayi yang minum susu ibu tidak minum susu sebanyak bayi yang minum susu formula. Ini berikutan kuantiti 3 oz yang diminumnya untuk sekali minum adalah mencukupi untuk fungsi normal badannya.
Susu ibu yang dihasilkan ibu berubah komposisinya mengikut cuaca dan usia bayi. Kebaikan susu ibu ialah ianya bersesuaian dan berkadaran langsung dengan keperluan bayi pada ketika itu.

Seperti yang dinyatakan diatas, bayi yang baru lahir dengan perut yang kecil hanya memerlukan kolustrum susu ibu yang sedikit.
Malah susu ibu akan semakin banyak jika bayi semakin kerap dan banyak menyusu.
Penyusuan melalui botol (sewaktu ibu keluar berkerja) tidak dapat dijadikan kayu ukur dalam menentukan berapa banyak bayi perlu minum kerana biasanya bayi akan minum lebih banyak dari yang diperlukan.
Ini berikutan ketidakbolehan mereka mengawal aliran susu daripada botol dan tindakan menggerakkan rahang melekakan mereka (lalu menyebabkan mereka menghabiskan susu dengan banyak).

Cadangan kaunselor kepada pengasuh, elakkan memberikan bayi susu pada setiap kali mereka berbunyi sebaliknya cuba tukar lampinnya, pujuk/tepuk perlahan lahan atau ajar bayi menghisap jarinya.

Pada permulaannya, penyusuan susu ibu akan sedikit rumit apabila ianya masih asing dikalangan wanita berkerjaya namun selepas beberapa bulan, ibu dan keluarga akan mula terbiasa dan merasakan kepraktikalitiannya.
Ibu bapa yang sedang menantikan kehadiran cahayamata dicadangkan menghadiri Kelas Penyusuan Susu Ibu yang sering dianjurkan oleh kaunselor dan konsultan laktasi di Malaysia.

Tuntutan kerja rumah & menyusukan anak sering bertembung dan ibu akan lebih cepat berasa letih dan memberhentikan penyusuan susu ibu.

Kerana itu perhatian dan sokongan suami amat diperlukan demi meneruskan penyusuan selama mungkin.
Seperti yang dinyatakan didalam Al-Quran mengenai kewajipan menyusukan anak sehingga 2 tahun, kerjasama semua pihak amat dituntut.

Bagi ibu yang tidak dapat menyusukan anak (mungkin atas faktor kesihatan), mereka digalakkan mencari ibu susuan untuk menyusukan bayi mereka.
Ini kerana hanya susu manusia yang bersesuaian dengan perkembangan tubuh badan dan otak bayi manusia yang mana susu mamalia lain hanya memenuhi kriteria perkembangan anak mamalia tersebut.

Mengikut Akademi Pakar Kanak Kanak Amerika, bayi yang disusukan dengan susu ibu akan mencapai pertumbuhan yang lebih cepat berbanding jika disusukan dengan susu formula.
Ini kerana pertumbuhan bayi dirangsang pada setiap kali proses penyusuan berlangsung. T
ahukah anda bahawa bayi menggunakan 44 otot semasa menyusu dengan ibunya berbanding 4 otot ketika menyusu dari botol?
Ini menyebabkan bayi yang menyusu susu ibu lebih cepat bercakap, berpusing, meniarap, merangkak seterusnya bertatih dan berjalan. Malah jarak pandangan mata yang tercapai oleh bayi baru lahir ialah antara payudara dengan mata ibu ketika menyusu.
Interaksi dan sentuhan berterusan semasa ibu dan bayi sedang menyusu menggalakkan pertumbuhan fizikal dan emosi bayi yang baik.

Penyusuan susu ibu menjadikan anda benar benar ibu bila mana hanya anda yang boleh menyusukan anak anda (semasa ibu dirumah) dan bayi disusukan dengan susu ibu biarpun ibu keluar berkerja.

Recommended Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *