8 Pesanan Dato’ Seri Syed Zainal Abidin
Dato’ Syed Zainal Abidin dilahirkan dalam keluarga yang bukan orang senang dengan adik beradik yang ramai disebuah kampung di Perlis. Namun beliau tidak pernah mempunyai persepsi bahawa orang susah tidak boleh berjaya.
Turning Point seorang Syed Zainal Abidin ialah apabila bapa beliau menitipkan pesan sebelum berangkat ke US pada tahun 1979
“Zainal pergi belajar dan berusaha, Zainal ini anak yang merubah nasib keluarga”
Dengan tekad tersebut dan memori yang masih terpahat, beliau tidak pernah memandang ke belakang.
Mengubah nasib keluarga adalah matlamatnya – dari dahulu dan kini mengubah nasib bangsa.
Beberapa pesanan yang Syed Zainal Abidin titipkan.
#1 – Bina Keyakinan
Keyakinan luar biasa itu berada dalam diri walaupun perkara yang dijangka itu belum berlaku.
Ianya perlu dipelajari dan dilatih berkali-kali.
Lihat dan perhati bagaimana orang berjaya bercakap dan berdiri.
Berlatih untuk yakin ianya akan menjadi.
#2 – Percaya pada Kuasa Ilmu
Usah rasa semua sudah tahu. Cari ilmu dalam banyak buku – dari banyak guru.
Tuntutlah ilmu guna semua deria – mata melihat memerhati, telinga dalam menyerapi, hati fokus mencerapi.
#3 – Usah takut dengan Kegagalan
Tidak apa jika gagal. Tidak perlu malu untuk mengaku.
Kelahiran juga sebuah risiko.
Kegagalan bukan sebuah tamparan yang hebat. Selalunya ia proses mengajar untuk memperbaiki keputusan masa hadapan.
#4 – Terima Kritikan dengan Senyuman
Orang yang mengkritik ialah orang yang sayangkan kita. Ianya perlu bagi menyedarkan apa yang kita buat itu betul atau salah – dan mungkin ada cara yang lebih baik kita jumpai melalui kritikan dan cadangan.
Berterima kasih dengan setiap kritikan.
#5 – Sentiasa Bersyukur
Nikmat Allah tak pernah berhenti. Letakkan keuntungan selepas keberkatan Allah.
Allah akan beri berganda, Allah akan permudahkan usaha.
Andalah orang paling kaya hari ini kerana mempunyai nikmat kesihatan untuk terus menjemput rezeki.
#6 – Jelas Benar Matlamat
Setiap lima tahun, ubah matlamat anda. Nafas yang dihela setiap hari bukan untuk berangan, tapi pasakkan wawasan. Apa yang mahu anda capai. Dimana anda mahu tinggal. Berapa buah buku anda baca. Jumlahnya tidak boleh sama dengan lima tahun sebelum.
Taraf hidupnya tidak boleh sama.
Kadar sumbangannya tidak boleh serupa – bertambah tiada.
Bina matlamat baru yang jelas mata dan semua deria menujunya.
#7 – Cari Guru untuk Berjaya
Usah bersendiri merangka pelannya.
Cari guru dan teman biar tidak bersendiri.
Guru menunjuk waktu terduduk.
#8 – Disiplin
Hati kata mahu, mulut sudah setuju, seluruh tindakan mesti ke arah satu.
Pilihlah untuk berdisiplin. Patuhi masa, hormati impianmu.
Belum pernah orang berjaya tanpa disiplin dan lewa.
Belum pernah.
Pilihlah untuk berdisiplin dan kaya raya dunia sini dan sana.