Didik Anak Kecil Puasa
Artikel didik anak kecil puasa disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 7 Ogos 2012 tulisan Puan Suraya Ali.
Artikel boleh didapati di link ini
Ramadan Al Mubarak. Satu bulan yang penuh keberkatan. Kedatangannya sering dinantikan dengan penuh gembira. Selain berpeluang untuk menghimpunkan banyak pahala dengan 1,000 keberkatan dan kemuliaan yang dijanjikan oleh ALLAH SWT, bulan mulia ini juga satu cara untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan.
Menjelang bulan penuh keberkatan ini, si kecil juga mula sibuk hendak berpuasa. Malahan mereka juga tidak ketinggalan bangun bersahur. Pada waktu ini, ibu bapa perlu mengambil peluang terbaik untuk mendidik si kecil erti sebenar berpuasa.
Konsultan Laktasi Bertauliah dari International Board Certified Lactation Consultants (IBCLC), Siti Nur Suraya Mohamed Ali berkata, anak kecil bagaikan kain putih dan lukisannya dicorakkan oleh ibu bapanya.
“Seawal usia lima tahun, si kecil sudah boleh dilatih untuk menjalani ibadah puasa walaupun mereka belum diwajibkan untuk melakukannya. Elakkan memberitahu anak bahawa mereka masih kecil dan tidak perlu berpuasa,” katanya pada Sinar Harian.
Tambahnya, kata orang ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Justeru, ibu bapa wajar mendidik anak untuk belajar mematuhi rukun Islam yang ketiga ini sejak kecil walaupun puasa tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum baligh.
“Mereka perlu dilatih secara perlahan-lahan sebagai persediaan dan pengertian tanggungjawab seorang Muslim agar apabila dewasa dan telah baligh kelak, mereka sudah biasa dengan kewajipan tersebut,” katanya.
Menurut Siti Nur Suraya, sebagai persediaan asas, setiap ibu bapa perlu mula beritahu si kecil mengenai erti berpuasa iaitu sebulan sebelum Ramadan menjelang tiba.
“Beritahu mereka dengan intonasi dan bahasa yang mudah difahami mengenai apa yang akan dilakukan ketika Ramadan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Tunjukkan sifat keterujaan anda dan pastinya si kecil juga tidak sabar untuk turut serta berpuasa dan memeriahkan lagi Ramadan tahun ini,” jelasnya.
Beliau menambah, apabila Ramadan disambut dengan penuh keterujaan, pastinya anak akan mula beranggapan bahawa puasa itu tidak pernah menyusahkan dan tidak memudaratkan.
Didik Anak kecil Puasa – Rasa di hargai
Siti Nur Suraya yang juga Pengarah Urusan Lunatots berkata, ibu bapa harus mengajak si kecil menyertai aktiviti bersahur dan berbuka puasa.
“Kejut mereka ketika anda bersahur. Tidak perlu risau waktu tidur si kecil terganggu kerana anak akan berasa dihargai apabila dilibatkan dalam aktiviti orang dewasa. Sebaliknya tukar waktu tidur mereka lebih awal,” katanya.
Menurutnya, ibu bapa juga disarankan untuk memilih aktiviti yang sesuai bagi si kecil tetapi sebelum itu perlulah mengajak si kecil berehat atau tidur sebentar pada waktu tengah hari.
Katanya, dengan rehat yang mencukupi, anak akan lebih bertenaga untuk menyambung puasa mereka sampai ke waktu berbuka.
“Berpuasa sementara tidak mengganggu sistem tubuh anak kecil sebaliknya ia mencergaskan sistem impuls dan menggalakkan mereka supaya berkelakuan baik.
“Kadar tenaga yang rendah sepanjang siang hari juga membuatkan mereka boleh fokus dengan lebih baik. Oleh itu, pilih aktiviti yang sesuai seperti aktiviti dalaman untuk mereka sepanjang siang hari,” katanya.
Selain itu, katanya, seboleh-bolehnya jauhkan makanan dan minuman daripada pandangan si kecil pada siang hari.
“Kasihan perasaan anak kecil terganggu dengan imej makanan dan minuman yang menduga. Jadi, elakkan daripada membawa mereka keluar membeli belah di pasar raya,” katanya sambil tersenyum.
Teladan baik – Didik anak kecil puasa
Beliau berkata, ibu bapa seharusnya memilih teladan yang baik untuk anak selain mereka sendiri. Bagi si kecil yang sudah mempunyai rakan, elakkan mereka berkawan dengan rakan yang malas berpuasa.
Tunjukkan contoh rakan mereka yang baik untuk mereka teladani. Ibu bapa juga boleh luangkan masa dengan bercerita kisah teladan Nabi dan Rasul bagi mempamerkan teladan yang baik. Mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa.
“Apabila anak sudah mula diperkenalkan dengan agama dan ibadah, hati anak akan lebih mudah dibentuk membawa ke usia remaja,” katanya.
Seterusnya, katanya, ibu bapa digalakkan untuk membawa si kecil bertarawih dan membaca al-Quran bersama.
“Beritahu mereka bahawa Ramadan adalah bulan yang perlu dimeriahkan dengan ibadah. Pastinya mereka berasa suatu kelainan dan keistimewaan dalam bulan ini berbanding bulan lain,” katanya.
Akhir sekali, jelasnya, berikan ganjaran yang berupa bahan pendidikan kerana ia turut merangsang minda separuh sedar mereka untuk berusaha mendapatkan apa yang mereka mahukan.
“Kata pada si kecil, ganjaran orang berpuasa adalah sangat besar dan datangnya daripada ALLAH SWT. Pendidikan awal mengenai puasa dapat membentuk peribadi si kecil dari awal,” katanya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah hubungi Siti Nur Suraya melalui laman web di www.lunastory.com atau www.lunatots.com atau laman sosial Facebook di www.facebook.com/lunatots.