Kebergantungan kanak-kanak terhadap sesuatu contohnya bantal dan selimut atau boleh jadi ibu jari sendiri akan berakhir dengan cepat sebelum hari jadi pertamanya. Ianya dipanggil ‘Transitonal Objects’ atau (T.O.s).
Namun begitu ia mungkin berlanjutan sehingga anak berusia lima tahun.
Mereka terlalu sukakan ‘sesuatu’ tersebut dan sering berdampingan dengannya. Ia boleh jadi baju kegemaran dengan watak kesukaan mereka juga sehinggakan tidak membenarkannya di basuh!
Mengapa Ia Berlaku?
‘Transitonal Objects’ atau (T.O.s) ini memberikan perasaan selesa dan selamat pada waktu penerokaan mereka terhadap dunia bermula.
T.O.s juga memberikan rasa ketenangan terhadap sebarang ketakutan terhadap kegelapan, orang asing atau mungkin juga anjing.
Bagi kanak-kanak yang berusia empat tahun ke atas, mereka akan mula mahu mempunyai idola mereka. Ia boleh jadi watak kartun kegemaran atau pun ahli keluarga atau mungkin ‘imaginary friends’ mereka.
Idola ini sangat mempengaruhi perkembangan anak-anak seperti cara berfikir, cara bercakap dan juga cara bertindak mereka.
Apa yang Perlu Ibu Bapa Tahu?
Ibu bapa tidak perlu risau. Proses ini akan berakhir dengan cepat.
Pada penghujung usia enam, kanak-kanak sudah mula melepaskan T.O.s mereka perlahan-lahan.
Namun ianya perlu dipantau sekiranya mereka terlalu bergantung kepada T.O.s mereka atau sekiranya kebergantungan mereka terlalu tinggi terhadap pakaian kegemaran mereka, kanak-kanak mungkin berada dalam keadaan tertekan samada di rumah mahupun di rumah pengasuh ataupun di pre-school.
Apa yang perlu dilakukan?
1. Hormati keputusan mereka
Sebelum memahami apa yang perlu kita lakukan, kita perlu mengetahui apa yang tidak boleh dilakukan seperti mengusik atau mengecilkannya. Ayat seperti “tak cantiklah baju ini” atau “Asyik-asyik baju ini. Boringlah Mama” perlu dielakkan.
Menghormati dan memahami adalah perkara yang amat diperlukan oleh seorang insan. Ini asas utama.
Terima kesukaan mereka dan teruskan memberitahu “Mama faham Adik sangat sukakan baju ini kerana coraknya”
Fahaminya melalui tekaan “Adik suka pakai baju ini kerana ianya selesa ya?” Berikan sokongan sekiranya jawapannya “Ya” seperti “Wah nampaknya kita perlu beli lebih baju seperti ini.”
Atau mungkin dia sangat sukakan watak di dalam bajunya contohnya Upin Ipin.
Berbual dengannya kebaikan atau kelebihan watak tersebut seperti “Upin dan Ipin sangat sayangkan Opah dan kakaknya kan? Mama tahu Adik pun begitu.”
2. Berikan batasan
Ibu bapa memainkan peranan khusus sepanjang pembentukan peribadi seseorang kanak-kanak.
Mungkin stail pakaian mereka tidak bersesuaian dengan semua keadaan dan ibu bapa perlu memberitahu anak-anak mereka secara tegas dan berbentuk didikan.
Anak kecil terlalu ingin menjadi orang dewasa yang boleh memilih apa yang terbaik untuk mereka.
Beritahu mereka bahawa orang dewasa memakai pakaian yang berbeza untuk hari yang berbeza dan program yang berbeza. Tunjuk kepadanya bagaimana orang dewasa menukar pakaian mengikut program dan aktiviti yang sesuai. Beritahunya, ibu (atau ayah) juga ada pakaian yang disukainya. Ini kata kunci – persamaan.
Manusia mudah mendengari dan mengikuti apabila rasa ada sebarang similarity (persamaan).
Maklumkan batasan bahawa pakaian kegemaran mereka ini hanya boleh dipakai sewaktu hari apa dan pada waktu petang contohnya.
3. Hormati Kegemarannya (T.O.s)
Usah mintanya melupakan T.O.s nya secara terus namun benarkan ia berlaku secara gradual.
Basuh pakaian kegemarannya dan gantung elok di dalam almari. Tunjukkan bahawa kita menghormati segala apa yang disukainya. Gantungkan pewangi almari juga!
Selalu beritahu anak-anak, kita berlaku adil pada semua pakaian kita dimana mereka (pakaian-pakaian) itu sangat gembira apabila dipilih untuk kita pakai hari ini. Mereka dipakai oleh ahli syurga! Segala kebaikan yang anak-anak lakukan pada hari ini akan dikongsi bersama oleh pakaian kita ini. Mereka juga mahu masuk syurga bersama!
4. Berhenti memberitahu pada semua
Diluar sedar sebagai ibu bapa kita sering mengiyakan pilihan anak kita biarpun kurang tepat. Contohnya kita beritahu pada saudara mara yang hadir ke rumah “Dia mahu pakai baju ini sahaja. Pening saya”
Apabila diluahkan dihadapan orang lain dan didengari oleh anak-anak, ia bagaikan suatu approval bahawa mereka boleh melakukan apa yang mereka mahu lakukan.
Tidak salah mengadu kepada orang lain yang lebih pakar. Tujuannya untuk mencari penyelesaian dan rujukan.
Dan bukan di hadapan anak-anak.
Beritahu hanya perkara baik dan apa yang kita mahukan di hadapan saudara kita contohnya “Mak Lang, Adik sangat sukakan baju Upin Ipin ini namun dia tak kisah berganti baju jika perlu. Baju ini dipakainya seminggu sekali dan disimpan di tempat yang elok selepas dibersihkan. Kan Adik?”
5. Berikan Sepenuh Kasih Sayang dan Perhatian
10 minit sehari bersamanya sahaja tanpa sebarang gangguan telefon dan mesej dalam keadaan hari ini amat penting. Berbual bersama, peluknya dan tanya mengenai harinya.
Apa perasaannya hari ini. Sesuatu yang dipelajarinya daripada cerita yang ditontonya. Perkenalkan idola umat Islam iaitu Nabi Muhammad S.A.W – apakah yang akan Nabi Muhammad S.A.W lakukan jika berada dalam keadaan yang sama sepertinya.
Tidak perlu lama – 10 minit sahaja namun bakal membawa perubahan yang istimewa terhadap perhubungan mesra kita.