Blog

Tujuh Persamaan Baju Kurung dan Kimono

Baju kurung dan kimono, selamat pagi dan ohaiyo!

20160320_163944

Hari 20 Mac 2016 adalah hari pertama Musim Bunga di Jepun. Ramai rakyat Jepun keluar bersiar siar dan berpakaian cantik dengan corak bunga.
Saya pun tak mahu ketinggalan menjadi salah seorang dari mereka!

Menjejakkan kaki ke Taito, Tokyo bagaikan kembali ke atmosfera Tokyo sepuluh tahun lampau.
Bagai melangkaui garisan masa.

Barisan kedai dengan desain lama yang masih terpelihara cukup indah dan mengujakan.

Asakusa merupakan pusat Shitamachi. Setibanya di tren stesen Asakusa, kami disapa oleh penarik beca untuk ronda sekeliling bandar.

Beca ini bukan menggunakan basikal yang dikayuh tetapi ditarik oleh manusia! Namanya ‘jinrikisha’

Untuk merasai pengalaman menaiki beca ini sewaannya ialah 9000 Yen (RM313.56 ketika artikel ini ditulis) untuk 2 orang.

Apa yang menyebabkan Asakusa dikunjungi manusia dari seluruh dunia adalah kerana Sensoji iaitu tokong Buddha khusus untuk bodhisattva Kannon dan turut terdapat beberapa tokong lain.

Pintu masuk tokong Sensoji ialah ‘Kaminarimon’ dengan ‘Chochin’ iaitu tanglung besar sering dicetak di keychain mahupun magnet peti ais sebagai kenangan mengunjungi Jepun.

Cuaca sekitar ketika kami tiba adalah 11 darjah celcius. Kami masih perlu memakai baju material heat tech, baju luar dan sehelai lagi jaket untuk mengekalkan haba.

20160320_165910

Tak mahu ketinggalan merasai Tempura yang istimewa disini.
Kos makanan ini 1500 Yen (RM52.25) seorang.

20160320_154710

Asakusa adalah sebuah tempat hiburan suatu ketika dahulu. Dipercayai sehingga kini masih ada lebih kurang 45 geisha  (wanita cantik untuk menghiburkan) masih aktif disini. Tapi kami tidak berjumpanya.

Kebanyakan rakyat Jepun yang keluar ke Asakusa hari ini memakai Yukata (seiras kimono namun lebih nipis dan sesuai untuk musim panas).

Asakusa mempunyai hampir ribuan kedai cenderahati dan mereka menyediakan kemudahan WiFi untuk pelanggan!

Anggaran harga keychain ialah 500 Yen untuk satu.
Sempat saya dapatkan satu topi Tokyo untuk dibawa travelog ke bumi lain pula!

Terdapat kimono untuk disewa selama 2 jam untuk dipakai bersiar siar.
Kadar sewaannya ialah USD27 (RM105.75) dan boleh tambah servis fotografi untuk ambil gambar di sekeliling Asakusa dan juga Tokyo Sky Tree berhampiran.

7 keunikan kedua pakaian (Jepun – Malaysia) ini dikongsikan bersama:

Persamaan Pertama
Kimono bermaksud ‘sesuatu yang dipakai’ merupakan pakaian tradisional Jepun untuk lelaki dan perempuan.

Seperti Baju Melayu untuk kaum lelaki dan Baju Kurung untuk kaum perempuan di Malaysia.

Persamaan Kedua
Perbuatan memakai Kimono dipanggil ‘Kitsuke’. Ianya tidak mudah dan memerlukan bantuan orang lain. Kursus untuk memakaikan Kimono juga ada di Jepun!
Macam kursus buat tengkolok dan mengikat sampin dan tanjak jika di Malaysia lagaknya. Ada seni tersendiri dan bukan main sarung sahaja.
Baju Kurung lebih mudah.

Persamaan Ketiga
Tidak ada Kimono yang ready made untuk dibeli. Jika ada pun ianya sangat mahal.
Kimono perlu dijahit mengikut bentuk badan seseorang.
Dan ianya tidak dijahit dengan mesin. Jahitan tangan masih dikekalkan.

Yang sering dipakai orang ialah Yukata.

Istimewanya Kimono bagaikan songket dan batik kebanggaan kita rakyat Malaysia.

Persamaan Keempat
Kain untuk jahitan Kimono disebut ‘Tanmono’ iaitu sepanjang 9 meter dan 14 sentimeter!

Biasanya hanya 4 meter diperlukan untuk membuat sehelai Baju Kurung.

Persamaan Kelima
Kimono mendapat inspirasi dari pakaian tradisional Cina ‘Hanfu’ namun mula dimodenkan sejak zaman Heian (sekitar tahun 800 Masihi).

Baju Kurung pula dikatakan mempunyai kaitan dengan pakaian ‘djallabiyah’ yang berasal dari Mesir yang bermakna baju longgar.

Persamaan Keenam
Kimono biasanya dibuat dari kain sutera. Baju Kurung boleh buat dari pelbagai jenis kain seperti sutera, songket, batik dan kegemaran rakyat Malaysia pastinya dari kapas.

Persamaan Ketujuh
Kimono dicetak dengan teknik ‘Yuzen’ iaitu teknik cetak berulang jadi ianya adalah sejenis monogram.

Baju Kurung boleh jadi cetakan dan boleh jadi adalah lukisan juga dimana setiap satu adalah berbeza dan terhad keluarannya!

Menarik kan!

Memakai Baju Kurung di tengah bandar Asakusa membuatkan ramai mata memandang keunikannya.

Gambar saya di hadapan tugu Uryu Iwako yang dibina pada April 1901.

20160320_165744

Uryu Iwako dilahirkan pada 15 Februari 1829 di Kitakata, Fukushima. Kehilangan bapa sejak berumur 9 tahun dan ibunya meninggal ketika beliau 14 tahun. Selepas itu dia dijaga oleh pakciknya yang merupakan seorang doktor didalam kumpulan Aizu.

Selepas pemulihan Meiji, Iwako berusaha meningkatkan tahap pendidikan bagi kaum wanita dan turut membina Rumah Perlindungan Fukushima untuk anak yatim dan orang susah.

Sepanjang kehidupannya, beliau mengasaskan Institut Kajian Perbidanan dan Hospital Saisei di Kitakata.

Pada usia 58 tahun, tokoh ini meninggal dunia.
Biarpun jasadnya sudah tiada namun pengorbanannya didalam usaha meningkatkan taraf hidup wanita dan orang susah, amat menginspirasikan!

Dari bumi Tokyo, Jepun saya bawakan Baju Kurung kebanggaan rakyat Malaysia!

IMG-20160320-WA0016

Iwako, Kimono dan Kurung.

P/s — Kita jumpa ‘Hachiko’ minggu hadapan.

Yang seterusnya Tinggi tinggi Gunung Fuji, tinggi lagi cintaku padamu.

Recommended Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *